Tingkatkan usaha kesedaran alam sekitar-Lidah Pengarang
KESEDARAN mengenai kepentingan alam sekitar masa ini adalah luas dan mendalam berbanding dengan 10 tahun lalu. Kemajuan besar dalam hal ini mendatangkan banyak perubahan dalam pelbagai kegiatan manusia yang memberi sumbangan kepada kebaikan alam sekitar.
Namun begitu, isu-isu alam sekitar mempunyai pelbagai bentuk dan banyak perkara baru muncul sementara yang lama masih belum dapat ditangani.
Dalam kedudukan alam sekitar sedemikian rupa, tidak ada jaminan bahawa bumi akan terselamat daripada bencana terutama yang diakibatkan oleh perbuatan manusia.
Justeru, Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut hari ini merupakan peluang bagi semua pihak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu-isu alam sekitar.
Ini kerana soal alam sekitar tidak boleh ditangani secara sendirian oleh mana-mana bahagian masyarakat, sebaliknya ia memerlukan kerjasama yang terselaras oleh semua pihak dalam menanganinya.
Malah ia juga tidak dapat dilakukan oleh mana-mana negara tertentu tetapi memerlukan pembabitan semua negara di dunia kerana kita semua berkongsi satu kediaman iaitu planet bumi.
Dalam sesebuah negara pula, ia memerlukan kesedaran bukan saja oleh aktivis alam sekitar tetapi juga kerajaan dan rakyat keseluruhannya.
Tanpa kesedaran tentang kepentingan alam sekitar, sudah tentu ada bahagian dalam masyarakat yang memandang sambil lewa terhadap masalah-masalah alam sekitar.
Lebih buruk lagi adalah wujudnya golongan yang berpengetahuan tentang alam sekitar tetapi tidak sedar terhadap kepentingannya. Sebaliknya mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi, terutamanya dalam bentuk keuntungan perniagaan.
Tanpa kesedaran alam sekitar, maka akan wujud usaha menghalang sebarang perjuangan memperbaiki atau menangani alam sekitar, lebih-lebih lagi apabila keutungan mereka terjejas.
.png)
No comments:
Post a Comment